Wednesday 7 December 2011

Bersuci Daripada Hadas


BERSUCI DARI HADAS
Bersuci dari hadas adalah wajib, dan hadas itu terbahagi kepada 2 bahagian;
  • Hadas besar.
  • Hadas kecil.

HADAS BESAR
Pengertian hadas besar
Hadas besar mengikut istilah syara’ ertinya sesuatu yang maknawi (kotoran yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar), yang berada pada seluruh badan seseorang, yang dengannya menegah mendirikan solat dan amal iadah seumpamanya, selama tidak diberi kelonggaran oleh syara’. Selama seseorang itu tidak menempuh atau melakukan salah satu perkara yang menyebabkanhadas besar, maka selama itu badannya suci dari hadas besar.
Sebab dinamakan hadas besar ialah kerana kawasan yang didiami atau dikenai ole hadas besar ini terlalu luas iaitu meliputi seluruh badan dan rambut.

Perkara-perkara yang menyebabkan kedatangan hadas besar
Seseorang itu disebut berhadas besar menakala menempuh atau melakukan salah satu daripada 5 perkara yang berikut;
  1. Melakukan persetubuhan atau jima’, iaitu memasukkan hasyafah (tempat yang terpotong bagi kemaluan lelaki) atau sekadarnya ke dalam faraj (qubul) atau dubur manusia atau binatang yang hidup atau yang telah mati.
  2. Kedatangan haidh iaitu darah yang keluar dari rahim perempuan sebagai menandakan kesihatannnya. Sekurang-kurang umur bagi perempuan yang mungkin kedatangan haidh iaitu lebih kurang 9 tahun.
  3. Keluar mani dengan sengaja atau tidak sengaja.
  4. Nifas iaitu darah yang keluar mengiringi kelahiran sewaktu beranak.
  5. Wiladah iaitu beranak yang tidak diiringi darah atau beranak yang diiringi basah sahaja.

Masa haidh dan masa nifas
Sekurang-kurang masa haidh bagi perempuan iaitu sehari semalam dan paling banyaknya 15 belas hari 15 malam, manakala yang biasanya ialah 6 malam atau 7 hari 7 malam.
Sekurang-kurang masa nifas pula ialah satu lahzah (sekelip mata) dan sebanyak-banyaknya iaitu 60 hari 60 malam, manakala yang biasanya iaitu 40  hari 40 malam.
Setelah darah haidh atau nifas itu berhenti maka wajiblah ia mandi seluruh badan (mandi wajib) untuk membolehkan ia melakukan ibadah solat dan lain-lain seumpamanya.

Masa suci antara 2 haidh
Orang perempuan yang sihat akan kedatangan haidh pada tiap-tiap bulan, tetapi haidhnya tidak melebihi 15 hari. Oleh itu ia adalah suci yang mewajibkan solat di antara masa haidh bulan yang pertama dengan bulan yang berikutnya.
Dengan demikian, sekurang-kurang masa suci ialah 15 hari 15 malam dan biasanya ialah 23 hari dan 23 malam, atau 24 hari 24 malam. Di samping itu  kebanyakan masa suci tidak dapat disamakan, disebabkan ada antara orang perempuan yang tidak pernah datang haidh seumur hidup, dan mereka yang sedemikian wajib melakukan solat sepanjang masa seperti orang lelaki.
Perkara-perkara yang diharamkan dengan sebab berhadas besar
  1. Solat , sama ada yang fardhu mahupun yang sunat.
  2. Tawaf (mengelilingi Ka’abah) sama ada yang fardhu mahupun yang sunat.
  3. Menyentuh Al-Qur’an ataupun memegangnya.
  4. Membaca Al-Qur’an.
  5. Berhenti dalam masjid.
  6. Berpuasa, sama ada yang fardhu mahupun yang sunat, bagi yang datang haidh atau nifas.
  7. Haram jima’ atau bersetubuh bagi perempuan yang haidh atau nifas.

Cara mandi mengangkat hadas besar
Ketika mulai mandi dengan menjirus air ke kepala atau badan, wajib berniat untuk mengangkat/menghilangkan hadas besar. Bacaan lafaz niatnya iaitu;

نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ اْلأَكْبَرِ لله تَعَالَى

Ertinya;
Aku berniat mandi untuk mengangkat hadas besar fardhu kerana Allah  Ta’ala.
Cara mandi hendaklah dengan menjirus (menyiram) air dan meratakannya hingga kesemua anggota badan termasuk rambut dan bahagian celah-celah anggota badan. Sah juga mandi wajib dengan cara menyelam ke dalam air yang banyak seperti sungai dan laut.
Sunat-sunat semasa mandi
  1. Dimulai dengan membaca ayat Basmalah.
  2. Membasuh tangan 3 kali.
  3. Membasuh kemaluannya.
  4. Berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung serta menghembusnya keluar.
  5. Mengambil wudhu’.
  6. Jirus air ke atas kepala 3 kali.
  7. Jirus air ke badan dengan mendahulukan anggota yang kanan.
  8. Menggosok-gosok badan.
  9. Setelah selesai mandi maka bacalah doa sebagaimana doa selepas wudhu’.
Berbagai jenis mandi sunat
Selain daripada mandi wajib seperti  yang diterangkan sebelum ini, syari’at Islam menggalakkan pula mandi sunat bagi seseorang yang mandi kerana menyempurnakan ibadah-ibadah tertentu. Di antaranya ialah;
Mandi kerana hendak pergi menunaikan solat Juma’at. Niatnya iaitu, “Sahaja aku mandi sunat hari Juma’at kerana Allah (SWT) Ta’ala.”
Mandi sunat Hari Raya Aidlfitri atau AidilAdha sama ada ingin pergi menunaikan solat sunat hari raya atau tidak. Niatnya , “Sahaja aku mandi sunat hari raya kerana Allah (SWT) Ta’ala”.
Mandi sunat selepas memandikan jenazah.
Mandi sunat selepas seseorang memeluk agama Islam jika belum pernah berjunub. Jika pernah berjunub hendaklah dia mandi wajib.
Mandi sunat setelah seseorang itu siuman dari gila atau sedar dari pengsan.
Mandi sunat Ihram sebelum memakai pakaian ihram untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah.
Mandi sunat kerana gerhana matahari atau bulan.
Mandi kerana berubah bau badan.
Mandi sunat kerana musafir yang diharuskan.
Istihadhah
Istihadhah ialah darah penyakit yang keluar dari rahim perempuan di luar waktu haidh atau nifas. Ia tidak menegah perempuan tersebut dari melakukan ibadah solat, puasa dan lain-lain, sebagaimana yang diharamkan bagi orang perempuan yang kedatangan haidh atau nifas. Oleh yang demikian, orang perempuan kedatangan darah istihadhah ini hendaklah menunaikan ibadah yang diwajibkan seperti biasa. Kemaluannya hendaklah dibasuh dan ditutup dengan kapas atau kain, kemudian segeralah mengambil wudhu’ dan solat.

Hukum bangkai:

Semua bangkai adalah najis kecuali ikan, belalang dan mayat manusia, sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
“Dihalalkan bagi kita (umat Islam) dua jenis bangkai dan dua jenis darah iaitu bangkai ikan dan belalang dan hati serta limpa (haiwan sembelihan).”
Tentang sucinya mayat manusia pula iaitu, firman Allah (SWT);
“Dan sesungguhnya Kami(Allah (SWT)) telah memuliakan anak Adam (manusia).”


HADAS KECIL
Pengertian hadas kecil
Erti hadas kecil menurut istilah syara’ ialah sesuatu kotoran yang maknawi (tidak dapat dilihat dengan mata kasar), yang berada pada anggota wudhu’, yang menegah ia dari melakukan solat atau amal ibadah seumpama solat, selama tidak diberi kelonggaran oleh syara’. Hadas kecil ini tidak akan terhapus melainkan dengan mengambil wudhu’ yang sah. Selama mana seseorang itu dapat mengekalkan wudhu’nya, maka selama itu ia bersih dari hadas kecil. Sebabnya dinamakan hadas kecil ialah kerana kawasan yang didiami oleh hadas kecil ini kecil sahaja iaitu sekadar anggota wudhu’.

Perkara-perkara yang menyebabkan kedatangan hadas kecil (membatalkan wudhu’)
Wudhu’ seseorang itu akan terbatal dengan salah satu dari 5 sebab berikut;
  1. Keluar sesuatu dari 2 jalan iaitu qubul atau dubur seperti kencing, berak atau buang angin (kentut).
  2. Hilang akal dengan sebab gila atau mabuk atau sakit.
  3. Tidur nyenyak, kecuali tidur orang yang duduk, yang tetap kedua papan punggungnya.
  4. Bersentuh kulit lelaki dan kulit perempuan yang halal berkahwin dengan tidak berlapik dan keduanya telah dewasa.
  5. Menyentuh qubul atau dubur manusia dengan tapak tangan tidak berlapik walaupun qubul atau duburnya sendiri.
Perkara-perkara yang diharamkan dengan sebab hadas kecil
  1. Mendirikan solat, sama ada yang fardhu atau yang sunat.
  2. Tawaf, sama ada yang fardhu atau yang sunat.
  3. Menyentuh Al-Qur’an atau menanggungnya.
Seseorang yang tidak ada wudhu’ disebut berhadas kecil. Untuk menyucikan diri darinya ialah dengan mengambil wudhu’ dengan rukun-rukun dan cara yang telah ditentukan.
Rukun wudhu’
Rukun mengambil wudhu’ ada 6 perkara iaitu;
  1. Niat mengerjakan fardhu wudhu’ ketika mulai membasuh sebahagian dari muka. Lafaz niatnya iaitu;
Maksudnya: “Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah (SWT) Ta‘ala”.
atau
Maksudnya: “Sahaja aku berwudhu’ kerana Allah  Ta‘ala”.

2. Membasuh muka. Kawasannya ialah dari anak rambut kepala hingga ke bawah dagu (panjangnya),  daripada anak telinga kanan hingga anak telinga kiri (lebarnya).
3. Membasuh kedua tangan  hingga ke kedua sikunya.
4. Menyapu sebahagian dari kepala.
5. Membasuh kedua kaki hingga ke buku lali.
6. Tertib (mengikut susunan yang telah diatur oleh syara’ seperti di atas).
Wudhu’ seseorang yang tertinggal salah satu rukun yang tersebut di atas  adalah tidak sah.

Sunat-sunat yang dituntut ketika berwudhu’
Mereka yang mengambil wudhu’ disunatkan mengerjakan sekali perkara-perkara di bawah ini bagi menyempurnakan wudhu’nya dan menambah pahalanya;
  1. Bersugi – menggosok gigi.
  2. Mengadap kiblat.
  3. Membaca Basmalah.
  4. Membasuh dua tapak tangan hingga ke pergelangannya.
  5. Berkumur-kumur.
  6. Memasukkan air ke hidung dan menghembuskannya keluar.
  7. Menyapu seluruh kepala.
  8. Menyapu kedua telinga luar dan dalam.
  9. Menyelat-nyelat janggut yang lebat.
  10. Menyelat-nyelat anak jari tangan dan kaki.
  11. Mendahulukan yang kanan dari yang kiri.
  12. Meniga-nigakan basuh dan sapu pada anggota-anggota wudhu’ yang telah disapu dan dibasuh.
  13. Mualat (berturut-turut), tidak diselangi oleh perceraian masa yang lama antara satu anggota dengan anggota yang lain.
  14. Membaca doa selepas wudhu’ disempurnakan.
Lakukanlah solat sunnat wudhu’ dua raka’at.

Peringatan menggunakan air untuk berwudhu’
Cara menggunakan air ketika berwudhu’  ialah dengan dijirus atau disiram sama ada dengan gayung atau cerek atau menadah dari paip air . tidak sah wudhu’ jika dengan cara memasukkan tangan ke dalam satu baldi air, dan dengan air itu juga untuk membasuh muka, tangan menyapu rambut dan membasuh kaki kecuali jika di dalam laut atau sungai yang banyak airnya.
Sukatan air wudhu’ – air untuk mengambil wudhu’ sekali untuk seseorang dikadarkan oleh syara’ satu cupak air sahaja, dan makruh jika dilebihkan dari kadar tersebut.

DOA WUDHU’
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah (SWT) yang Esa, tidak ada yang menyekutuiNya dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hambaNya dan utusanNya. Ya Allah (SWT), jadikanlah aku daripada orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku dari orang yang menjaga kebersihan, dan jadikanlah aku dari hambaMu  yang soleh. Maha Suci Engkau ya Allah (SWT) dengan segala kepujianMu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku memohon ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah (SWT) rahmati serta sejahterakan junjungan kami Nabi Muhammad , ahli keluarga dan sahabatnya sekelian”.

Hal-hal yang Membatalkan Wudhu’
1. Keluar sesuatu dari “dua pintu” belakang seperti buang angin (kentut), buang air besar atau kecil, haid atau nifas, dan sebaganya.
2. Hilang akal (kerana sakit, mabuk, gila dan sebagainya) .
3. Bersetubuh
“Manakala seorang muslim atau mukmin itu berwudhu, lalu ia membasuh mukanya, maka keluarlah dari mukanya itu semua dosa yang dilihat oleh matanya bersama air atau bersama titisan yang terakhir dari air. Manakala ia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah (terusir) semua dosa yang tersentuh oleh kedua tangannya bersama air atau bersama-sama dengan titisan terakhir dari air. Manakala ia membasuh kedua kakinya, maka sirnalah semua dosa yang pernah dijalani oleh kakinya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir, sehingga keluar (selesailah) dalam keadaan bersih dari dosa-dosa.” (Hr Imam Muslim dari Abu Hurairah).

0 comments:

Post a Comment

 
Created By :Norsekinah Bt. Ismail | SK Dato' Sri Syed Ahmad,Lana Bulu, Ayer Hitam, 06150, . Alor Setar Kedah Darul Aman